PalestinSemasa

Aduan dakwa Bank EU terlibat bantu jenayah perang Israel di Gaza kini disiasat secara rasmi

Sebuah aduan rasmi yang difailkan oleh Yayasan Hind Rajab (HRF) terhadap Bank Pelaburan Eropah (EIB) atas dakwaan membantu jenayah perang Israel di Gaza kini telah memasuki fasa penilaian rasmi dalam Mekanisme Aduan EIB (EIB-CM).

Dalam kenyataannya pada Selasa, HRF menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah penting yang menandakan institusi kewangan Kesatuan Eropah (EU) kini perlu bertanggungjawab terhadap kemungkinan keterlibatan mereka dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa. “Perkembangan ini bukan sekadar prosedur — ia adalah tonggak politik dan undang-undang yang menunjukkan institusi Eropah sedang dipaksa menilai keterlibatannya dalam jenayah perang,” menurut kenyataan HRF.

Aduan yang difailkan pada 20 Jun itu mendesak agar EIB segera menggantung dan menyiasat segala bentuk kerjasama kewangan dengan institusi Israel yang telah disenaraihitamkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas penglibatan mereka dalam pembinaan penempatan haram di wilayah Palestin.

Menurut HRF, jumlah pelaburan yang terlibat melebihi USD1.1 bilion (sekitar €1 bilion), melibatkan pembiayaan untuk Bank Leumi, syarikat pembinaan Electra dan beberapa entiti lain yang tersenarai dalam pangkalan data PBB 2020 kerana memudahkan dan meraih keuntungan daripada penempatan haram Israel di Tebing Barat.

“Ini merupakan salah satu tindakan undang-undang pertama di Eropah yang secara langsung mencabar keterlibatan kewangan institusi EU dalam jenayah perang Israel. Ia membuka lembaran baharu dalam usaha menuntut pertanggungjawaban pihak ketiga di bawah undang-undang antarabangsa,” tegas HRF.

Susulan aduan tersebut, EIB kini diwajibkan menilai sama ada transaksi dan kerjasama kewangan yang dilakukan dengan Bank Leumi, Electra serta syarikat tersenarai hitam lain melanggar piawaian etika bank itu sendiri, undang-undang EU, atau tanggungjawab antarabangsa yang dipersetujui oleh blok tersebut.

Sumber: TRT World

Related Articles

Back to top button