PalestinSemasa

PBB edar makanan kepada sejuta penduduk Gaza, tetapi amaran krisis kekal kritikal

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan telah berjaya mengedarkan bungkusan makanan kepada hampir sejuta penduduk Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa, namun memberi amaran bahawa bantuan itu masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan asas penduduk yang terperangkap dalam sekatan berterusan Israel.

Program Makanan Sedunia (WFP) PBB berkata operasi mereka kini “dalam perlumbaan untuk menyelamatkan nyawa” susulan penutupan lintasan utara Gaza yang menghalang penghantaran bekalan makanan dan ubat-ubatan ke kawasan yang paling terjejas. Jurucakap WFP Timur Tengah, Abeer Etefa, dalam sidang media dari Kaherah menjelaskan bahawa “tiga setengah minggu selepas gencatan senjata, kami telah mencapai kira-kira satu juta orang di seluruh Gaza. Tetapi kami memerlukan lebih banyak akses – lebih banyak lintasan sempadan dibuka dan jalan utama dibenarkan untuk dilalui.”

Gencatan senjata yang ditengahi oleh Amerika Syarikat antara Israel dan Hamas pada 10 Oktober lalu membolehkan penghantaran kemanusiaan terhad, tetapi kumpulan bantuan antarabangsa menegaskan jumlah tersebut masih jauh daripada mencukupi untuk mengatasi krisis kebuluran yang semakin meruncing.

Etefa menjelaskan bahawa WFP menyasarkan untuk mencapai 1.6 juta orang dengan bungkusan makanan yang mencukupi bagi sebuah keluarga selama sepuluh hari. Setakat ini, hanya 44 daripada 145 pusat pengedaran berjaya dibuka, manakala bekalan roti segar diagihkan setiap hari kepada kira-kira 700,000 orang melalui 17 kedai roti tempatan.

Namun, katanya, penggunaan makanan kekal “jauh di bawah” paras sebelum perang. “Keluarga kini hanya bergantung pada bijirin dan kekacang. Daging, telur dan sayur-sayuran hampir tidak wujud,” ujarnya.

Jurucakap WFP lain, Nour Hammad, turut menggambarkan situasi harga makanan yang meningkat luar biasa di Gaza, dengan berkata, “sebiji epal kini berharga seperti sekilogram epal sebelum perang.”

Menurut agensi itu, hanya separuh daripada bekalan makanan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan Gaza berjaya dibawa masuk, dan semua penghantaran kini terhad kepada dua lintasan sahaja – Karem Abu Salem dan Kissufim. Keadaan ini menyebabkan kesesakan besar di sempadan dan kelewatan penghantaran bantuan ke kawasan utara yang musnah teruk akibat serangan.

“Kami belum menerima penjelasan jelas mengapa lintasan utara masih ditutup,” kata Etefa. “Keperluan sangat besar, dan kami sedang berkejar dengan masa untuk menyelamatkan nyawa.”

Sumber: TRT World

Related Articles

Back to top button