DomestikSemasa

49 fasiliti kesihatan terjejas susulan banjir di tujuh negeri

Sebanyak 49 fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir di tujuh negeri di Semenanjung Malaysia, dengan 19 daripadanya ditutup dan operasi dipindahkan ke lokasi lain.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan laporan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan setakat 3 petang semalam, 27 fasiliti kesihatan masih beroperasi dengan penyelarasan manakala tiga fasiliti tidak beroperasi di Perlis.

“Sebanyak 345 pasukan perubatan dan kesihatan telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi membantu mangsa banjir,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata negeri-negeri yang masih terjejas ialah Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Selangor dan Pahang, dengan jumlah keseluruhan mangsa setakat 3 petang semalam seramai 27,955 orang yang ditempatkan di 222 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sehingga kini, 2,083 mangsa telah mendapat rawatan perubatan, termasuk 376 kes jangkitan saluran pernafasan (ARI), 92 kes jangkitan kulit, 15 kes gastroenteritis akut dan empat kes konjunktivitis.

“Tiada wabak dikesan di mana-mana PPS, namun dua kematian berkaitan banjir telah dilaporkan di Kelantan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button