EkonomiSemasa

Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta jadikan Malaysia pusat operasi pemasangan

Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi pemasangan dan ujian mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, keputusan pelaburan itu menunjukkan keyakinan syarikat terhadap perancangan jangka panjang negara, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Intel turut menghargai sokongan kerajaan Malaysia, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini hampir siap sepenuhnya.

Terdahulu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Lip-Bu Tan, anak Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara dalam industri semikonduktor dan perisian di peringkat global. Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan perkembangan sektor semikonduktor serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi.

Anwar juga menyambut baik kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan melalui mata pelajaran elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan yang menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun. Beliau menegaskan, pelaburan ini mencerminkan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam memacu inovasi, mengukuhkan ekosistem bakat tempatan, dan mengekalkan daya saing negara di pentas dunia.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button