SemasaSukan

Piala Negara-Negara Afrika: Senegal Muncul Juara Kali Kedua, Tewaskan Maghribi Dalam Aksi Penuh Drama

Pasukan bola sepak kebangsaan Senegal berjaya merangkul gelaran juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) buat kali kedua dalam sejarah selepas menewaskan tuan rumah, Maghribi, 1-0 dalam aksi final yang berlangsung di Rabat.

Perlawanan sengit itu berlanjutan sehingga ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar permainan. Aksi akhir tersebut turut diwarnai dengan insiden dramatik pada masa kecederaan babak kedua apabila Maghribi dihadiahkan sepakan penalti.

Keputusan pengadil itu mencetuskan bantahan keras daripada kem Senegal. Atas arahan jurulatih Pape Thiaw, para pemain Senegal bertindak meninggalkan padang dan berundur ke terowong pemain sebagai tanda protes. Bagaimanapun, situasi berjaya ditenangkan apabila bintang penyerang, Sadio Mane, memujuk dan membawa semula rakan sepasukannya ke padang untuk meneruskan perlawanan.

Bersambung semula aksi, penjaga gol Senegal, Edouard Mendy muncul wira apabila berjaya menafikan sepakan penalti yang diambil oleh pemain tengah Maghribi, Brahim Diaz, sekaligus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Gol kemenangan yang dinanti-nantikan Senegal akhirnya menjelma pada minit ke-94 menerusi jaringan Pape Gueye. Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat, membolehkan Lions of Teranga mengulangi kejayaan mereka pada edisi 2021.

Sebagai rekod, Maghribi yang beraksi di laman sendiri kali terakhir memenangi piala berprestij benua itu pada tahun 1976.

SUMBER: BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Related Articles

Back to top button