PalestinSemasa

16 Rakyat Malaysia Dalam Misi GSF Dipintas dan Ditahan Tentera Israel Berhampiran Cyprus

Seramai 16 orang warganegara Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan selepas sembilan buah kapal yang dinaiki mereka dipintas oleh tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat jam 8 malam waktu Malaysia.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan bahawa kapal-kapal armada tersebut telah dihampiri secara agresif oleh IOF ketika berada di kawasan perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.

“Ketika insiden intimidasi berlaku, flotila berada di kedudukan kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di laluan perairan antarabangsa yang diiktiraf di bawah undang-undang maritim seperti termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) dan berada di luar kawasan sekatan mana-mana negara,” kata beliau pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 hari ini.

Senarai Rakyat Malaysia yang Ditahan

Antara warganegara Malaysia yang disahkan ditahan oleh IOF berserta kapal yang dinaiki mereka adalah:

  • Zainal Rashid Ahmad (kapal Amanda).

  • Muhamad Muhsin Zaidi (kapal Isobella).

  • Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (kapal Cactus).

  • S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar, dan Dr Syakirin Muhamed Senin (kapal Ferluto).

  • Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari (kapal Bianca ITA).

  • Mohammad Farizzal Rostam dan Muhammad Zaid Abdul Karim (kapal Gotico).

  • Norazman Ishak (kapal Abodes).

  • Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Mohd Isa, dan Osman Zolkifli (kapal Themis).

  • Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (kapal Josef).

Gesaan Campur Tangan Antarabangsa dan Taktik ‘Penjara Atas Kapal’

Susulan insiden pencerobohan maritim tersebut, Sani Araby memaklumkan bahawa pihak SNCC telah melaporkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pihaknya memohon campur tangan Kerajaan Malaysia untuk menggesa Kesatuan Eropah (EU), Turkiye, Sepanyol, dan negara-negara lain agar bertindak serta mengecam keras pencabulan terhadap misi kemanusiaan yang aman tersebut.

Beliau turut mendedahkan bahawa para peserta GSF yang ditahan itu dijangka akan ditempatkan di dalam sebuah “penjara atas kapal” terlebih dahulu sebelum mereka dibawa ke Pelabuhan Ashdod untuk menjalani proses dokumentasi dan pengusiran.

Kapal penjara berkenaan merupakan sebuah kapal tentera berkapasiti besar yang diubah suai menjadi sel tahanan sementara. Penggunaan penjara terapung ini disifatkan sebagai helah taktikal pihak Israel untuk menahan peserta GSF dalam tempoh masa yang lebih panjang, sekali gus mengelakkan tekanan daripada undang-undang antarabangsa.

“Saya menjangkakan mereka akan dibawa ke kapal tahanan itu… kalau dibawa terus ke Ashdod, mereka terikat dengan undang-undang baharu yang memerlukan tahanan dilepaskan dalam tempoh 24 jam,” jelas Sani Araby lagi.


Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button