DomestikSemasa

Hubungan Baik Dengan Kuasa Besar Tidak Gadai Prinsip Negara – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hubungan baik yang dijalin Malaysia dengan kuasa besar dunia, termasuk China dan Amerika Syarikat, sama sekali tidak pernah menghakis pendirian negara dalam mempertahankan prinsip nasional berkaitan isu di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia secara konsisten mengamalkan dasar berkawan dengan semua negara, namun kekal tegas dalam mempertahankan kepentingan nasional, terutamanya berkaitan isu perdagangan, pelaburan, dan penguatkuasaan undang-undang.

“Kita berkawan dengan semua namun tetap berpegang pada prinsip kita. Dia (Israel) buat tak betul terhadap Gaza, kita cakap tak betul,” tegas beliau ketika berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan (PH) bertajuk “Keadilan Untuk Bangsa Johor” di Muar, malam tadi.

Kompromi Tiada Terhadap Pelanggaran Undang-Undang

Mengambil contoh hubungan erat dengan China, Anwar menjelaskan bahawa kerjasama tersebut membawa manfaat besar kepada Malaysia dalam bidang perdagangan, pelaburan, dan pendidikan. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar undang-undang negara.

“Kita baik dengan China sebab China baik dengan kita… kita boleh berdagang, boleh berniaga dan menghantar anak-anak belajar di sana… tetapi kalau ada pihak yang melanggar peraturan dan berniaga tanpa permit, kita tetap ambil tindakan… kita berkawan tetapi kita jaga kepentingan negara,” katanya.

Anwar berkata hubungan baik yang dibina dengan pelbagai negara, termasuk Pakistan, Arab Saudi, Turkiye, Mesir, China dan Amerika Syarikat, membolehkan Malaysia memainkan peranan yang lebih berkesan di peringkat antarabangsa tanpa perlu mengorbankan kepentingan nasional.

Malaysia Di Hormati Di Peringkat Antarabangsa

Beliau berkata kedudukan Malaysia yang semakin dihormati di peringkat antarabangsa dapat dilihat apabila negara berjaya menarik kehadiran pemimpin utama dunia sejak kebelakangan ini, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Malah katanya, walaupun Malaysia bukan sebuah negara besar, para pemimpin dunia seperti Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri China Li Qiang memilih untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menolak kritikan sesetengah pihak terhadap pendekatan diplomasi mesra yang diamalkan beliau ketika menerima kunjungan pemimpin asing. Sebaliknya, beliau berkata hubungan baik antara pemimpin negara adalah penting dalam memperkukuh kerjasama dan membuka lebih banyak peluang kepada Malaysia.

“Keutamaan saya ialah menjaga kepentingan rakyat Malaysia dan memastikan negara terus dihormati di peringkat dunia,” katanya.

Sumber: Agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

Related Articles

Back to top button