DomestikSemasa

Perkukuh Bakat Negara, KPT Bekerjasama Dengan Yayasan Hasanah Perluas Akses Pendidikan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhasrat untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Yayasan Hasanah bagi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti tinggi, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat terbaik negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa perkara tersebut telah dibincangkan dalam satu pertemuan bersama pihak Yayasan Hasanah, iaitu sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Bhd yang memberi fokus kepada pembangunan pendidikan, komuniti, alam lingkungan, seni dan budaya, serta pembangunan kapasiti.

“Dalam pertemuan ini, saya diberi taklimat mengenai Program Biasiswa Khazanah Watan dan Khazanah Equity Pathway, yang bertujuan memperluas akses kepada pendidikan berkualiti serta membuka lebih banyak laluan kepada pelajar Malaysia untuk membangunkan potensi bakat mereka,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau malam ini.

Zambry turut menambah bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 2006, Yayasan Khazanah telah memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan modal insan negara. Setakat ini, institusi tersebut telah menyediakan bantuan biasiswa, latihan kepimpinan, serta program pembangunan bakat kepada lebih 1,792 pelajar.

Beliau menaruh harapan tinggi agar jalinan kerjasama strategik antara KPT dan Yayasan Hasanah ini dapat terus diperkukuh demi melahirkan kelompok bakat terbaik yang mampu memacu arah tuju pembangunan Malaysia pada masa hadapan.

Sumber Rujukan Berita: BERNAMA

Related Articles

Back to top button