Lebih 3,200 peneroka haram Israel bertindak menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki sempena perayaan Tisha B’Av, dalam satu tindakan yang disifatkan sebagai pencerobohan dan provokasi melampau.
Menurut Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis, seramai 3,228 peneroka memasuki pekarangan tapak suci itu pada waktu pagi Khamis dengan kawalan ketat pasukan keselamatan Israel, manakala kumpulan pelampau menyasarkan untuk membawa sehingga 5,000 penceroboh sepanjang hari.
Beberapa video yang tular menunjukkan penceroboh mengibarkan bendera Israel, menyanyikan lagu kebangsaan rejim, serta melakukan ritual Talmud seperti sujud penuh (prostration) dan melaungkan doa secara terang-terangan di hadapan kawasan Dome of the Rock.
Pencerobohan tersebut turut didalangi oleh pembesar rejim Israel, termasuk Menteri Keselamatan Negara Israel yang berfahaman lampau, Itamar Ben-Gvir, serta Ahli Parlimen parti Likud, Amit Halevi.
Pentadbiran Gabenor Baitulmaqdis dan Pejabat Presiden Palestin mengutuk keras pencerobohan berkenaan, sambil menegaskan bahawa penglibatan menteri kabinet Israel menandakan peralihan berbahaya daripada serangan kumpulan pelampau kepada dasar rasmi kerajaan rejim.
“Pencerobohan dan pelaksaan ritual Talmud ini merupakan satu pencerobohan berbahaya serta pelanggaran terang-terangan terhadap status quo sejarah dan perundangan Masjid Al-Aqsa. Ia jelas bertujuan mengubah realiti tapak suci tersebut dan membahagikannya secara ruang serta masa,” jelas kenyataan Pejabat Presiden Palestin.
Pasukan keselamatan Israel turut mengenakan kawalan ketat di sekitar pintu gerbang tapak suci dan Bandar Lama, sekali gus menghalang serta menyerang jemaah Palestin yang ingin menunaikan solat subuh di masjid tersebut.
Tindakan menceroboh ini turut menuai kecaman hebat daripada pelbagai pihak:
-
Jordan & Mesir: Kementerian Luar kedua-dua negara mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berisiko mencetuskan ketegangan lebih buruk di rantau tersebut.
-
Kumpulan Harapan Pertubuhan Hak Asasi (Peace Now): Kumpulan hak asasi sayap kiri Israel itu menyifatkan solat berjemaah penceroboh Yahudi di pekarangan Al-Aqsa sebagai provokasi berbahaya dan mendakwa menteri-menteri berfahaman tegar memberi dana serta perlindungan penuh kepada penceroboh.
Pihak Pihak Berkuasa Palestin menegaskan bahawa keseluruhan kompleks Masjid Al-Aqsa yang seluas 144 dunum (35.6 ekar) merupakan tempat ibadat eksklusif umat Islam dan Israel tidak mempunyai sebarang kedaulatan ke atas Baitulmaqdis Timur.
Sumber: Anadolu Agency (AA) via TRT World







