PalestinSemasa

Israel Biayai Kempen $46.5 Juta Untuk Manipulasi Jawapan AI Mengenai Perang Gaza

Kerajaan Israel dilaporkan membelanjakan puluhan juta dolar bagi melancarkan kempen pengaruh digital berskala besar yang bertujuan membentuk dan memanipulasi jawapan sistem kecerdasan buatan (AI) berhubung perang di Semenanjung Gaza.

Menurut laporan portal berita Drop Site News, kempen yang bernilai USD 46.5 juta (kira-kira RM210 juta) itu dikendalikan oleh syarikat Clock Tower X milik Brad Parscale, bekas pengurus kempen Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Syarikat berkenaan membina rangkaian pelbagai laman web khas bagi mempromosikan naratif pro-Israel serta mempengaruhi platform AI terkemuka seperti ChatGPT, Claude, Gemini, dan Perplexity.

Taktik ‘Keracunan LLM’ dan Manipulasi AI

Laporan itu mendedahkan bahawa ratusan artikel telah diterbitkan di rangkaian laman web berkenaan bagi membincangkan operasi ketenteraan Israel, perang Gaza, dan hubungan diplomatik AS-Israel.

Meskipun laman-laman web seperti Allyvia.org, FactSignal.org, dan Paxpoint.org menerima jumlah trafik pengujung yang rendah, ia direka khas untuk diindeks oleh enjin carian dan dikikis (scraped) ke dalam set data latihan Model Bahasa Besar (LLM). Taktik manipuatif ini dikenali dalam dunia teknologi sebagai “keracunan LLM” (LLM poisoning).

Ketua Pegawai Eksekutif firma pembasmi maklumat palsu digital Check First, Herve Letoqueux mendedahkan:

  • Kandungan daripada sekurang-kurangnya 10 laman web berkaitan Clock Tower X telah diindeks ratusan kali oleh Common Crawl — arkib web utama yang digunakan secara meluas untuk melatih model AI.

  • Gaya penulisan laman web berkenaan yang bersikap ‘sederhana’ dan berstruktur memudahkan platform AI mengambil maklumat tersebut sebagai sudut pandang rasmi.

  • Ini membolehkan sistem AI memetik naratif Israel bagi mengurangkan impak negatif terhadap soalan sensitif seperti “Adakah Israel melakukan genosid?”.

Hasil ujian mendapati beberapa chatbot AI seperti Perplexity dan Microsoft Copilot telah mula memetik laman-laman web berkenaan sebagai sumber rujukan rasmi apabila diajukan soalan mengenai kerjasama ketenteraan dan tindakan Israel.

Sokongan Awam Terhadap Israel Semakin Merosot

Langkah agresif Israel memanipulasi teknologi AI ini dipercayai berpunca daripada kemerosotan mendadak sokongan awam antarabangsa, khususnya di Amerika Syarikat, sejak perang genosid melanda Gaza.

Sokongan dilihat semakin merosot termasuk dalam kalangan kumpulan yang sebelum ini menjadi penyokong tegar Israel seperti golongan konservatif dan Kristian evangelikal, selepas angka korban rakyat Palestin akibat serangan rejim kini melepasi 73,000 orang.

(Sumber berita: Agensi Anadolu / TRT World)

Related Articles

Back to top button