
Kerajaan akan menawarkan akses serta langganan perisian kecerdasan buatan (AI) secara percuma selama tiga bulan kepada golongan belia berusia 18 hingga 30 tahun yang berjaya melengkapkan modul kursus di bawah platform Rakyat Digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata insentif berkenaan merupakan antara pengisian utama bagi program AI Untuk Rakyat yang dilancarkan bagi memacu kefahaman dan penggunaan AI, terutamanya dalam kalangan generasi muda di negara ini.
“Kita mulakan kohort anak muda untuk kohort umur sekitar 18 hingga 30 tahun dan Kementerian Digital akan menyiapkan modul-modul kursus,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran AI Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Modul Pengajian Dan Syarat Kelayakan
Antara modul kursus yang ditawarkan di bawah program berkenaan meliputi:
-
Keselamatan AI
-
Cyber SAFE
-
Agentic AI
-
Generatif AI
-
Cloud Untuk Rakyat
Perdana Menteri menegaskan bahawa akses dan langganan percuma bagi aplikasi AI terkemuka itu eksklusif kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus berkaitan.
Sasaran 100,000 Belia Sempena Hari Merdeka
Menurut Anwar, program AI Untuk Rakyat yang ditawarkan secara percuma ini dijadualkan bermula pada 31 Ogos 2026 sempena sambutan Hari Kebangsaan dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 anak muda.
Beliau menekankan pentingnya ketersediaan teknologi ini agar tiada golongan rakyat yang ketinggalan dalam kerancakan negara mengejar kemajuan teknologi AI.
“Maka sebab itu, penggunaan AI dan kempen penerangan AI untuk rakyat itu mesti ditingkatkan sebagai satu keutamaan,” tambah beliau.
(Sumber berita: BERNAMA)







