Misteri kehilangan seorang pemuda Palestin sejak hampir dua tahun lalu akhirnya terjawab selepas familinya mengenal pasti identitinya menerusi gambar yang dimuat naik oleh seorang askar Israel di platform Instagram.
Foto berkenaan memaparkan Mahmoud Atallah Al-Drimli, 22, berada dalam keadaan matanya ditutup dan tangannya digari diapit dua askar wanita Israel. Gambar itu memberi bukti kukuh pertama bahawa dia sekurang-kurangnya masih hidup, sekali gus menamatkan ketidakpastian yang menghantui keluarganya selama berbulan-bulan.
Mahmoud dilaporkan hilang sejak 2 November 2024 ketika cuba merentas Koridor Netzarim—laluan kawalan tentera Israel yang memisahkan utara dan selatan Gaza—dalam usahanya untuk kembali ke Bandar Gaza.
Rasa Lega Bercampur Patah Hati
Ibu mangsa memberitahu agensi berita Anadolu bahawa siri semakan dan siasatan dengan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sebelum ini langsung tidak membuah hasil.
“Apabila melihat gambar itu, saya berasa lega kerana akhirnya tahu dia masih hidup. Namun pada masa yang sama, hati saya hancur melihat keadaannya yang ditutup mata dan digari,” katanya.
Ibu pemuda berkenaan turut menempelak tindakan askar rejim yang memuat naik gambar tersebut dengan menegaskan bahawa foto itu tidak memalukan anaknya, sebaliknya memalukan mereka yang mengambil dan menyebarkannya.
Abang mangsa, Ahmed, menyifatkan hantaran foto berkenaan sebagai “sinar harapan” buat mereka sekeluarga, sambil merayu kepada organisasi hak asasi antarabangsa agar mendesak pihak Israel mendedahkan lokasi sebenar serta keadaan kesihatan Mahmoud terkini.
Ribuan Tahanan Hilang Tanpa Khasab
Menurut data daripada Kelab Tahanan Palestin, dianggarkan sekurang-kurangnya 9,400 rakyat Palestin kini ditahan oleh pihak berkuasa Israel sehingga awal Julai lalu.
Kumpulan hak asasi manusia mendedahkan bahawa nasib ratusan tahanan dari Gaza terus menjadi tanda tanya apabila rejim Tel Aviv secara berterusan enggan berkongsi maklumat berhubung lokasi pusat tahanan, status perundangan, mahupun tahap kesihatan mereka.
Sumber: TRT World & Agensi







