PalestinSemasaSukan

Liga Bola Sepak Palestin Kembali Beraksi September Ini Menerusi ‘Piala Seribu Syahid’

Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengumumkan penyambungan semula saingan bola sepak domestik yang telah digantung selama hampir tiga tahun menerusi penganjuran kejohanan khas “Piala Seribu Syahid” bermula 4 September ini.

Presiden PFA, Jibril Rajoub, menyifatkan pelancaran semula saingan ini sebagai simbol kebangkitan semula sukan serta harapan baharu bagi rakyat Palestin di tanah air mahupun di perantauan. Kejohanan ini akan dilancarkan secara serentak di tiga lokasi sebagai liga peralihan sebelum saingan liga utama kembali beroperasi musim hadapan.

Penyertaan Merentasi Tiga Wilayah

Sebanyak 226 kelab telah disahkan mengambil bahagian dalam saingan Piala Seribu Syahid ini:

  • Tebing Barat: 146 kelab (48 utara, 60 tengah, 38 selatan). Perlawanan pembukaan menyaksikan bertembungnya Jabal Al-Mukaber dan Shabab Al-Khaleel di Stadium Faisal Al-Husseini.

  • Semenanjung Gaza: 44 kelab, dengan perlawanan pembukaan antara Shabab Rafah menentang Khadamat Rafah.

  • Kem Pelarian Lubnan: 36 kelab, menampilkan perlawanan antara Al-Ansar dan Al-Nahda di kem Ain al-Hilweh.

Tiga trofi fizikal Khas diterbitkan bagi setiap wilayah, dengan nama 1,014 atlet Palestin yang terkorban terukir pada trofi berkenaan sebagai penghormatan. PFA turut memberikan geran khas bagi membantu kelab-kelab yang bertanding menampung kos logistik dan kelengkapan.

Persiapan Antarabangsa & Cabaran Kewangan

Meskipun berdepan kekangan kewangan yang ketat, PFA turut mengesahkan penyertaan delegasi seramai 108 orang melibatkan 67 atlet dalam 19 acara sukan di Sukan Asia di Jepun. Selain itu, skuad kebangsaan senior dijadualkan menentang China dalam perlawanan persahabatan pada September, manakala skuad Olimpik bakal berdepan Turkiye di Konya pada 30 September.

Rajoub turut mendesak FIFA dan komuniti sukan antarabangsa agar mengambil langkah konkrit bagi melindungi hak atlet Palestin serta memastikan undang-undang sukan dikuatkuasakan secara adil tanpa sebarang diskriminasi.

Sumber: TRT World & Agensi

Related Articles

Back to top button