DomestikSemasa

Wanita Maut Dipercayai Akibat Serangan Jantung, Kereta Rempuh Dua Motosikal

Seorang wanita tempatan berusia 36 tahun meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebelum kenderaannya merempuh dua buah motosikal yang diparkir di tepi Jalan Macalister, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad, mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Beliau turut menjelaskan bahawa kejadian yang berlaku di hadapan sebuah restoran kira-kira jam 2 petang itu hanya melibatkan pemandu MPV berkenaan. Dua buah motosikal yang dirempuh dan kelihatan dalam rakaman video tular sebenarnya berada dalam keadaan diparkir tanpa sebarang penunggang.

“Mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HPP dan dipercayai mengalami serangan jantung ketika kemalangan. Bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan media.

Siasatan di Bawah Akta Pengangkutan Jalan

Pihak polis telah menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat di platform media sosial yang memaparkan detik kenderaan berkenaan merempuh dua buah motosikal di hadapan sebuah premis restoran di lokasi kejadian.

Sumber Utama: BERNAMA

Related Articles

Back to top button