DomestikSemasa

Nahas Helikopter Sarawak: Jenazah Dr Ainul Baraah Dikebumikan di Kelantan

Jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, salah seorang mangsa yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas berhampiran Long Lellang, Sarawak, dijangka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper di sini sebaik sahaja urusan bedah siasat dan forensik selesai.

Bapa mangsa, Kamarudin Salleh, 69, berkata solat jenazah akan diadakan di Masjid Al Karamah, Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa. Beliau memaklumkan bahawa pihak keluarga telahpun berhubung dengan pihak masjid bagi membuat persediaan awal pengebumian, sementara menunggu kepastian masa penerbangan membawa jenazah dari Miri ke Kota Bharu.

Tragedi malang itu melibatkan helikopter jenis BO-105 yang dikendalikan untuk perkhidmatan doktor udara (FDS), yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang, mengesahkan kesemua lima individu di dalam pesawat tersebut maut dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 3.40 petang itu.

Selain Dr Ainul Baraah yang bertugas sebagai pegawai perubatan, mangsa lain yang turut terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat iaitu Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button