PM Anwar Ucap Syabas Kepada 22 Peserta Malaysia di WorldSkills Shanghai 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada 22 anak muda yang mewakili negara dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WorldSkills Competition) Shanghai 2026.
Beliau turut sama menghadiri majlis perasmian kejohanan berprestij itu di Pusat Kebudayaan Ekspo Dunia Shanghai bersama Perdana Menteri China, Li Qiang.
“Syabas kepada seramai 22 anak muda kita yang melambangkan bakat terbaik tanah air dalam bidang TVET sambil teguh menjulang Jalur Gemilang dengan rasa kebanggaan dan keyakinan,” kata Anwar dalam hantaran media sosialnya.
Berjuang Rebut Kemenangan Menerusi 21 Bidang Kemahiran
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan melahirkan keyakinan bahawa kesemua wakil negara ini akan berjuang sedaya upaya untuk merebut kemenangan apabila bersaing dengan peserta dari lebih 60 negara dalam 21 bidang kemahiran yang pertandingkan.
“Saya doakan agar segala usaha gigih mereka tidak sia-sia, sebaliknya membuahkan hasil yang membanggakan dalam misi memburu pingat emas demi tanah air tercinta,” ujar beliau.
Anwar kini berada di China bagi memulakan lawatan kerja selama tiga hari merangkumi bandar Shanghai dan Hangzhou. Sepanjang lawatan ini, beliau dijadualkan menghadiri Persidangan WorldSkills 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) serta menyampaikan ucaptama pada sesi pleno, selain mengadakan mesyuarat peringkat tinggi bersama Li Qiang di Hangzhou.
Sumber: BERNAMA







