PalestinSemasa

Malaysia Kutuk Pengusiran Paksa dan Kebuluran Rakyat Palestin, Gesa Gencatan Senjata Kekal di Gaza

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim pada Isnin mengutuk keras pengusiran paksa rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki serta keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.

Berucap pada sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-16 di Manila, Filipina, beliau menyeru agar gencatan senjata secara segera dan kekal dilaksanakan, selain membenarkan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta menjamin perlindungan terhadap pekerja kemanusiaan di wilayah Palestin.

Menerusi satu hantaran di platform media sosial X, Anwar menegaskan pendirian tegas negara berhubung krisis yang berlarutan itu.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman berterusan, pengusiran paksa dan kebuluran yang dikenakan ke atas rakyat Palestin,” katanya sambil menuntut agar Palestin diberikan keahlian penuh dalam PBB.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah peningkatan keganasan oleh peneroka haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, selain bencana banjir yang melanda Gaza ketika serangan Israel masih berterusan.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan Malaysia terhadap sumbangan China dalam usaha bantuan kemanusiaan serta pembinaan semula Gaza.

Menyentuh mengenai kerjasama serantau, beliau menekankan kepentingan untuk menterjemahkan Pelan Tindakan ASEAN-PBB 2026–2030 kepada hasil yang nyata, khususnya dalam bidang peralihan hijau dan digital, daya tahan iklim serta pembangunan mampan.

Beliau juga menggesa pembaharuan struktur PBB yang lebih berani, termasuk memansuhkan kuasa veto yang sekian lama menghalang Majlis Keselamatan PBB daripada bertindak secara adil dan berkesan.

Anwar turut menegaskan bahawa blok serantau yang dianggotai 11 negara itu mesti terus menegakkan prinsip Kepusatan ASEAN serta keluhuran undang-undang antarabangsa dalam mendepani persaingan geopolitik yang semakin mencabar.

Sumber: Agensi Anadolu (Anadolu Ajansı)

Related Articles

Back to top button