
Sektor perindustrian Jerman kehilangan lebih 140,000 pekerjaan sepanjang tahun lalu meskipun mencatatkan peningkatan pendapatan yang didorong oleh permintaan terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan perbelanjaan pertahanan, menurut laporan yang dikeluarkan firma audit dan perundingan global EY pada Isnin.
Menerusi barometer industri terkininya yang berasaskan data Pejabat Statistik Persekutuan, EY memaklumkan hasil perindustrian negara itu meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun kepada €546.3 bilion (AS$601.4 bilion) pada suku ketiga, sekali gus menandakan kenaikan suku tahunan ketiga berturut-turut.
Bagaimanapun, pemulihan hasil tersebut gagal membendung penyusutan tenaga kerja apabila jumlah pekerjaan dalam sektor perindustrian berada pada paras 5.3 juta orang setakat akhir September, menurun sebanyak 140,200 atau 2.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Sejak tahun 2019, sektor berkenaan telah mengurangkan sebanyak 405,800 pekerjaan — menyusut 7.1 peratus — yang bersamaan dengan kira-kira satu daripada setiap 14 jawatan perindustrian. Angka hasil tersebut turut tidak diselaraskan dengan kadar inflasi dan kekal di bawah paras €559.9 bilion yang direkodkan pada suku ketiga 2022.
Industri Automotif Paling Terjejas
Dalam kalangan industri yang diteliti, sektor automotif Jerman mencatatkan pengurangan tenaga kerja paling ketara dengan kehilangan 36,100 pekerjaan atau lima peratus sepanjang tahun lalu, seiring penyusutan pendapatan suku ketiga sebanyak dua peratus.
Sejak 2019, jumlah pekerjaan dalam bidang automotif telah berkurangan lebih daripada 143,500 jawatan, dengan hampir satu daripada enam posisi dihapuskan.
Secara keseluruhan, guna tenaga merosot merentasi semua subsektor perindustrian yang diliputi laporan tersebut, dengan industri elektrik mencatatkan penurunan paling kecil pada kadar 1.8 peratus.
Dari segi prestasi pendapatan pula, trend yang direkodkan adalah bercampur-campur. Pengeluaran dan pemprosesan logam mencatatkan lonjakan tertinggi sebanyak 19.5 peratus, diikuti industri elektrik pada 12.1 peratus serta bahan kimia dan farmaseutikal sebanyak 5.6 peratus.
Pembinaan pusat data AI banyak menyokong permintaan terhadap peralatan kuasa, sistem penyejukan, kabel dan produk logam, di samping faktor kenaikan harga yang turut membantu melonjakkan hasil. Sebaliknya, pendapatan industri kejuruteraan mekanikal dan kertas masing-masing susut 0.3 peratus, manakala sektor tekstil dan pakaian jatuh 1.9 peratus.
Rakan Pengurusan EY Jerman, Jan Brorhilker, berkata peningkatan pendapatan itu hanyalah pemulihan sederhana daripada asas yang rendah dan bukannya menandakan kebangkitan perindustrian secara menyeluruh.
Menurut beliau, kelemahan dalam sektor automotif turut memberi tekanan kepada rangkaian pembekal dan industri lain, manakala program penjimatan kos yang meluas serta potensi teknologi AI untuk mengurangkan keperluan kakitangan dijangka terus mengekang pertumbuhan pekerjaan.
Brorhilker turut mengingatkan bahawa golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan merupakan kelompok paling terdedah, memandangkan syarikat lazimnya membekukan atau mengurangkan kekosongan jawatan baharu terlebih dahulu apabila melaksanakan langkah pemotongan kos.
Sumber: Agensi Anadolu (Anadolu Ajansı)






