PBB telah mengeluarkan amaran keras bahawa tindakan rejim Israel merampas tanah persendirian di Tebing Barat secara besar-besaran, memperluas penempatan haram, serta mengosongkan perkampungan tempatan membawa ancaman besar yang boleh menghapuskan terus masa depan kenegaraan Palestin.
Semasa membentangkan laporan ke-39 Setiausaha Agung PBB di Majlis Keselamatan, pemangku penyelaras khas PBB untuk proses damai Timur Tengah, Ramiz Alakbarov, mendedahkan bahawa Israel telah mengeluarkan perintah rasmi untuk merampas tanah persendirian Palestin di kawasan yang diletakkan di bawah pentadbiran keselamatan awam dan dalaman Palestin.
Rampasan Pertama di “Kawasan A” untuk Penempatan Haram
Menurut Alakbarov, perintah terbaharu itu menyasarkan tanah berhampiran Qabatiya di selatan Jenin bagi membina jaringan jalan raya yang menghubungkan penempatan haram Noa dan Emek Dotan.
-
Ini merupakan kes pertama yang dilaporkan di mana tanah Kawasan A dirampas secara khusus bagi tujuan membina infrastruktur penempatan haram.
-
Di bawah Perjanjian Oslo II 1995, Kawasan A diletakkan sepenuhnya di bawah pentadbiran awam dan keselamatan Palestin. Tindakan rejim ini disifatkan sebagai satu bentuk hakisan terang-terangan terhadap asas wilayah pemerintahan sendiri Palestin.
-
Menteri Kewangan Israel pelampau kanan, Bezalel Smotrich, secara terbuka mendakwa bahawa Perjanjian Oslo sudah “batal dan tidak sah” serta mengisytiharkan bahawa kawasan A dan B adalah milik Israel.
Projek Koridor E1: “Ancaman Kewujudan” kepada Negara Palestin
Alakbarov turut memberi amaran berhubung projek pembinaan di koridor “E1” berhampiran Baitulmaqdis Timur yang diduduki, menyifatkannya sebagai “ancaman kewujudan” (existential threat) kepada sebuah negara Palestin yang berdaya maju.
-
Projek ini bertujuan memotong hubungan geografi terakhir antara Ramallah di utara dan Bethlehem di selatan, sekali gus memecah-belahkan wilayah Palestin secara kekal.
-
Smotrich sebelum ini pernah menyatakan secara terbuka bahawa pelan kontroversi E1 ini dirangka khusus untuk “menguburkan terus idea penubuhan negara Palestin”.
Gelombang Pemindahan Paksa dan Penghapusan Kampung
Selain rampasan tanah, data PBB mendedahkan skala penindasan yang semakin memuncak di lapangan:
-
Keganasan peneroka haram yang berterusan telah mengakibatkan tiga lagi perkampungan Palestin dikosongkan sepenuhnya, menjadikan jumlah komuniti luar bandar yang pupus kepada 49 sejak Januari 2023.
-
Pihak berkuasa Israel juga merobohkan atau merampas 536 hartanah Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dalam tempoh laporan, menyebabkan 736 penduduk termasuk 347 kanak-kanak hilang tempat tinggal.
-
Lebih 33,000 penduduk Palestin dari kem pelarian Jenin, Tulkarem, dan Nur Shams terus dinafikan hak pulang akibat serangan tentera yang berterusan. Alakbarov memberi amaran bahawa skala pemindahan paksa ini dikhuatiri menjurus kepada pembersihan etnik (ethnic cleansing).
Tuntutan Tindakan Tegas di PBB
Wakil tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour, menegaskan bahawa proses pengilhakan (annexation) haram sedang berlaku di depan mata melalui rampasan tanah dan penempatan baru. Beliau mendesak masyarakat antarabangsa agar tidak hanya berhenti pada kenyataan kecaman, sebaliknya mengenakan sekatan serta mengambil tindakan tegas termasuk memutuskan hubungan kewangan dan komersial dengan perniagaan penempatan haram Israel.
Mansour menegaskan bahawa di sebalik segala usaha rejim menduduki wilayah itu, sokongan antarabangsa membuktikan bahawa Palestin tidak boleh dipadamkan atau diabaikan sama sekali.
SUMBER: TRT World & Agensi







