DomestikSemasa

Anwar Terharu Buku Karya Beliau Diterjemah Rasmi ke Bahasa Mandarin di China

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa terharu apabila buku karya beliau bertajuk “Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times” kini diterbitkan secara rasmi dalam terjemahan bahasa Mandarin.

Beliau menyifatkan usaha murni itu sebagai satu platform penting untuk memperluas medan pertemuan serta pertembungan pemikiran, budaya, dan peradaban antara kedua-dua negara.

“Ini, satu usaha yang murni yang saya harapkan dapat memperluas medan pertemuan serta pembenturan pemikiran, budaya dan peradaban,” ujar beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

Naskhah Refleksi Pembinaan Negara Bangsa

Perdana Menteri menghadiri majlis pelancaran global edisi bahasa Cina buku terbaharunya itu di Hangzhou, diterbitkan oleh World Affairs Press di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar China, hasil terjemahan Dr Yan Lijin dengan cetakan awal sebanyak 5,000 naskhah. Versi asal bahasa Inggeris buku berkenaan diterbitkan pada Oktober 2025 oleh Penguin Random House SEA.

Menurut Anwar, naskhah tersebut bukanlah sebuah autobiografi, sebaliknya himpunan renungan mengenai pengalaman pascapenjajahan, usaha pencarian jati diri, serta ikhtiar membina negara bangsa yang berpaksikan keadilan dan kemakmuran bersama. Beliau turut menekankan bahawa dalam dunia yang sarat dengan prasangka, hubungan Malaysia dan China membuktikan perbezaan tidak semestinya menjurus kepada pertentangan, sebaliknya jambatan kefahaman harus terus diperkukuh menerusi nilai hikmah, kebenaran, ihsan, dan rasa hormat antara insan.

Pelancaran buku ini sekaligus melengkapkan siri lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri ke Shanghai dan Hangzhou, di mana China terus mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah USD113.82 bilion (RM456.68 bilion) dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button