Australia lancar semula ekspedisi pencarian MH370
SYDNEY : Selepas seorang jurutera aeroangkasa, Richard Godfrey, menerbitkan laporan yang mendakwa telah menentukan kedudukan sebenar pesawat itu, pasukan penyiasat Australia melancarkan semula ekspedisi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.
Berikutan dakwaan Godfrey, ketua pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia Angus Mitchell menyatakan harapan bahawa ‘misteri paling hebat setakat ini’ dapat diselesaikan.
“Kami akan menyemak semua data sebelumnya untuk melihat jika ada apa-apa yang kami terlepas.”
“Memandangkan ia (laporan) menunjukkan pesawat itu berada di wilayah yang sedang kami cari, kami sedang meneliti data yang kami kumpulkan di sana,” katanya sambil menambah bahawa kerja itu dijalankan dengan kerjasama Geoscience Australia.
Richard sebelum ini menyatakan bahawa Weak Signal Propagation Reporter (WSPR), peranti radio yang disebut dalam kajiannya, boleh digunakan untuk mengesan dan menjejaki kapal terbang dengan betul.
Beliau percaya MH370 terhempas di laut 1,933 kilometer (km) barat Perth, pada kedalaman 4,000 meter (m).
Mitchell seterusnya berkata bahawa siasatan menyeluruh Godfrey adalah boleh dipercayai, dengan tujuan utama menamatkan penantian keluarga mangsa Penerbangan 370 Malaysia Airlines.
Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370, dengan 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Walaupun usaha multinasional sepanjang empat tahun sebelumnya menelan belanja AS$200 juta (RM837.47 juta) dan melibatkan 120,000 meter persegi, bangkai pesawat itu masih belum ditemui, membawa kepada misteri yang berterusan.
-AGENSI