DomestikSemasa

Bas ‘Makan tuan’

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

PETALING JAYA: Pemandu bas express maut digilis kenderaannya sendiri yang bergerak secara tiba-tiba apabila mangsa sedang membaikinya di tepi Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) berdekatan Tol Subang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4 petang semalam semasa mangsa memberhentikan bas tanpa penumpang itu di tepi jalan.

Tambahnya lagi, lelaki tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada usia 31 tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 4 petang selepas mangsa memberhentikan bas di tepi jalan dan masuk ke bawah kenderaan itu untuk membaikinya.

“Namun bas dipercayai bergerak lalu menggilis mangsa,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengetahui punca kejadian dan sebab kematian mangsa.

Susulan kejadian itu, pihaknya memohon saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.

Saksi boleh menyalurkan maklumat berkaitan  dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button