
Beregu campuran remaja negara, Datu Anif Isaac Datu Asrah dan Clarissa San, melakar pencapaian luar biasa apabila berjaya merangkul dua gelaran juara dalam tempoh hanya seminggu di Dhaka, Bangladesh. Kejayaan terbaharu itu hadir selepas pasangan ini dinobatkan sebagai juara kejohanan Siri Antarabangsa Bangladesh 2025 yang berakhir semalam.
Menerusi aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Sahid Tajuddin Ahmed, Paltan, Datu Anif dan Clarissa meneruskan momentum cemerlang mereka dengan menewaskan rakan senegara, Wee Yee Tern dan Tan Zhing Hui, dalam permainan straight set 21-14, 21-15. Kemenangan ini melengkapkan koleksi kejuaraan mereka selepas baru sahaja menjuarai Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2025 pada 20 Disember lalu dengan menewaskan pasangan tuan rumah.
Walau bagaimanapun, nasib berbeza dialami oleh beberapa wakil negara yang lain pada aksi final tersebut. Tan Zhing Hui terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara bagi acara beregu wanita selepas beliau yang berpasangan dengan Gan Min Yee tewas dalam aksi sengit tiga set kepada wakil Thailand, Thitiwarada Buakaew dan Sarisa Janpeng, dengan keputusan 13-21, 21-18, 17-21.
Selain itu, pemain perseorangan wanita negara, Lim Zhi Shin, turut terlepas peluang merangkul gelaran juara apabila tunduk kepada pemain India, Tanvi Reddy Andluri, dengan mata 19-21, 10-21. Meskipun beberapa wakil lain gagal di peringkat akhir, kejayaan berganda Datu Anif-Clarissa tetap menjadi tumpuan utama dan membuktikan kualiti pemain remaja negara di pentas antarabangsa.
Sumber: BERNAMA







