
Pasukan boling lelaki Malaysia, yang diletakkan sebagai prospek utama pingat emas pada Deaflympics 2025, tersingkir seawal pusingan pertama selepas menghadapi masalah pengangkutan yang menyebabkan mereka tiba lewat ke lokasi pertandingan.
Ketua Jurulatih Boling Pekak Kebangsaan, Joe Tay, berkata insiden itu mengakibatkan pemain Mohd Firdaus Mohamad, Syabil Azam Syamsul Azam, Ho Choon Seong dan Mohd Zaidi Awang kelam-kabut serta tiada masa untuk melakukan sesi pemanasan badan. Bas yang sepatutnya tiba pada jam 7.55 pagi tidak tersedia, manakala bas pada 6.50 pagi pula tidak dapat digunakan, menyebabkan pasukan terpaksa menunggu sehingga lebih jam 8 pagi sebelum akhirnya diaturkan teksi ke lokasi pertandingan.
Perjalanan dari titik pengambilan bas ke Higashiyamato Grand Bowl dianggarkan sejauh 37 kilometer dan biasanya mengambil masa sekitar satu jam 45 minit, manakala acara dijadualkan bermula pada jam 10 pagi. Joe Tay berkata delegasi Malaysia akan membuat aduan rasmi kepada penganjur berhubung kejadian tersebut.
Malaysia menamatkan pusingan pertama di tempat kesembilan dengan jumlah keseluruhan 1,123 jatuhan pin, gagal melepasi had kelayakan ke pusingan kedua, sementara Korea Selatan mendahului dengan 1,283 jatuhan pin, diikuti Jerman (1,234) dan Taiwan (1,180).
Setakat ini, Malaysia mencatatkan satu emas (boling beregu lelaki), satu perak (boling beregu wanita) dan satu gangsa (badminton beregu campuran) pada edisi Deaflympics kali ini.
Sumber: Bernama