
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berusaha mengubah wilayah Arab menjadi “sfera pengaruh Israel”, ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di New York.
“Perdana Menteri Israel bermimpi untuk menjadikan wilayah Arab sebagai sfera pengaruh Israel,” tegas Sheikh Tamim sambil menyifatkan Israel sebagai sebuah “negara penyangak”.
Beliau memberi amaran bahawa kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas hanya akan “membenarkan undang-undang rimba terus berkuasa.”
Sheikh Tamim menegaskan bahawa keamanan di Timur Tengah hanya boleh dicapai melalui pengiktirafan antarabangsa terhadap kenegaraan Palestin. Beliau turut memuji langkah beberapa negara yang baru-baru ini mengiktiraf Palestin dan menggesa lebih banyak negara mengikutinya.
Sokongan terhadap Syria
Dalam ucapannya, Emir Qatar menyatakan Syria kini memasuki “fasa baharu”, sambil menegaskan sokongan negaranya terhadap rakyat Syria dan menolak sebarang usaha Israel untuk membahagikan wilayah itu.
Beliau turut mendedahkan bahawa Qatar sedang menjalankan “pengantaraan yang sukar” untuk menghentikan perang Israel di Gaza dan membuka akses bantuan kemanusiaan, meskipun berdepan “kempen salah maklumat” yang cuba menjejaskan peranan Doha.
Sheikh Tamim menambah bahawa serangan udara Israel ke atas Doha awal bulan ini telah menjejaskan usaha membebaskan tahanan dari Gaza. Namun, katanya, Qatar tidak akan berhenti daripada meneruskan usaha berterusan ke arah keamanan dan penyelesaian kemanusiaan.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh lebih 65,300 rakyat Palestin di Gaza – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Pengeboman tanpa henti telah memusnahkan kawasan penempatan, menjadikannya hampir tidak boleh didiami selain menyebabkan kebuluran dan penularan penyakit.
Sumber: Agensi