
Empat lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyeludup seramai 104 migran tanpa izin membabitkan warga Indonesia dan Vietnam dalam dua kejadian berasingan bulan lepas.
Ketiga-tiga tertuduh, Adi Warman, 36 (tekong), serta dua pembantu tekong, Gading, 31, dan Rafiernanda, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad. Mereka didakwa secara bersama menyeludup 64 migran warga Indonesia (39 lelaki dan 25 wanita) di perairan Pulau Talang, kira-kira 0.3 batu nautika dari pulau berkenaan pada jam 4.30 pagi, 18 Ogos lalu.
Di mahkamah sama, seorang lagi pembantu tekong, Yunus Saputra, 30, turut dituduh menyeludup 40 migran membabitkan 38 warga Indonesia dan dua warga Vietnam di tepi Pantai Hutan Kuari Sungai Batu pada jam 8 pagi, tarikh yang sama.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Anisah Pisol tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kes ini tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Mahkamah menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)






