DomestikEkonomi

Gangguan Penerbangan Akibat Konflik Jejas Ekonomi, Malaysia Perlu Fokus Digital Dan Dagangan Baharu

KUALA LUMPUR – Gangguan laluan penerbangan akibat konflik global dijangka menjejaskan ekonomi Malaysia, terutama dalam sektor pelancongan dan perdagangan.

Penutupan ruang udara seperti di Pakistan, akibat ketegangan dengan India serta konflik Ukraine-Rusia yang berlarutan, memaksa banyak penerbangan mengambil laluan lebih jauh.

Langkah ini meningkatkan kos logistik dan menyebabkan kelewatan bekalan, sekali gus memberi tekanan kepada syarikat penerbangan serta sektor pelancongan.

Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Fakulti Perniagaan Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, laluan yang lebih jauh bukan sahaja menambah kos operasi, tetapi juga mengganggu pergerakan keluar masuk barangan dan individu.

Beliau turut menjelaskan bahawa kebimbangan keselamatan boleh mengubah tingkah laku pelancong, menyebabkan ramai menangguhkan perjalanan jarak jauh – terutamanya selepas insiden pesawat MH17.

Dalam menghadapi cabaran ini, Malaysia disarankan untuk memberi fokus kepada pendigitalan dan mempelbagaikan dagangan, agar industri tempatan lebih tahan menghadapi tekanan global termasuk tindakan balas tarif oleh Amerika Syarikat.

-BERNAMA-

Related Articles

Back to top button