Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyelar status gencatan senjata di Gaza sebagai satu “ilusi maut” selepas mengesahkan sekurang-kurangnya 265 kanak-kanak Palestin terkorban di wilayah berkenaan sejak perjanjian itu diumumkan pada Oktober 2025.
Statistik mengejutkan itu menunjukkan bahawa secara purata, seorang kanak-kanak terbunuh pada setiap hari selama lebih lapan bulan lalu, sekali gus mempersoalkan keberkesanan terma “gencatan senjata” yang sering dilaungkan di pentas dunia.
Kekejaman Berterusan Di Ruang Awam
Jurucakap UNICEF, James Elder, ketika bercakap kepada pemberita di Geneva pada hari Jumaat menyifatkan keadaan tersebut sebagai “ilusi yang kejam”. Beliau menegaskan bahawa ketika komuniti antarabangsa terus menggunakan naratif gencatan senjata, realitinya keluarga di Gaza terpaksa mengebumikan anak-anak mereka saban hari.
Lebih menyayat hati, mangsa dilaporkan terbunuh ketika berada di kawasan yang sepatutnya selamat dan terlindung, termasuk di rumah, sekolah, serta ruang awam semasa bermain bola sepak atau memancing.
“Minggu ini sahaja: seorang budak lelaki berusia dua tahun ditembak mati oleh tentera Israel; seorang remaja berusia 13 tahun maut ditembak di dalam khemahnya; manakala seorang kanak-kanak berusia lima tahun terkorban bersama bapanya dalam serangan Israel,” jelas Elder memfasiqkan rentetan kekejaman terbaharu.
Ratusan Cedera Parah Dan Alami Trauma Kekal
Selain angka kematian, UNICEF turut merekodkan lebih 400 kanak-kanak mengalami kecederaan parah sejak Oktober tahun lalu. Antara kes tragis yang dikongsikan termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang ditembak di dada ketika berada di dalam khemah, serta seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang ditembak di muka oleh peluru daripada dron quadcopter di dalam rumahnya sendiri.
Pihak agensi memberi amaran bahawa ratusan kanak-kanak kini memerlukan pemindahan perubatan dengan kadar segera. Sekatan ketat ke atas kemasukan ubat-ubatan penting oleh pihak Israel dilaporkan memburukkan lagi keadaan, meningkatkan risiko jangkitan kuman, komplikasi kesihatan, dan keperluan amputasi (pemotongan anggota badan) dalam kalangan mangsa yang cedera.
Dari sudut psikologi, UNICEF menyatakan bahawa ketakutan dan keganasan yang berterusan telah menyerap masuk ke dalam fabrik kehidupan harian kanak-kanak di Gaza, menjadikan trauma bukan lagi sekadar satu fasa, tetapi sebahagian daripada zaman kanak-kanak mereka.
Situasi Membimbangkan Turut Melanda Lubnan
Dalam laporan yang sama, UNICEF turut menumpukan perhatian kepada situasi geopolitik di Lubnan. Menurut data agensi itu, sekurang-kurangnya 247 kanak-kanak telah terbunuh manakala 992 lagi cedera di Lubnan sejak ketegangan dan permusuhan ketenteraan memuncak di negara tersebut pada 2 Mac lalu.
UNICEF menggesa kerajaan-kerajaan dunia dan institusi antarabangsa untuk segera mengambil tindakan konkrit. Elder menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian gencatan senjata yang boleh dianggap bermakna atau sah selagi darah golongan tidak berdosa, terutamanya kanak-kanak, terus mengalir.
Sumber Maklumat:
-
Agensi Berita Anadolu (AA) & TRT World







