
Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, telah menyerahkan jenazah seorang lagi tawanan Israel kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Gaza di bawah pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang masih berkuat kuasa dengan Israel.
Tentera Israel pada Selasa mengesahkan penerimaan mayat tersebut yang diserahkan melalui saluran rasmi ICRC. Dalam kenyataan ringkas, sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, memaklumkan bahawa pemindahan dilakukan pada jam 1800 GMT, selepas pasukannya menemui mayat itu semasa operasi pencarian di kawasan yang dikenali sebagai “garisan kuning” di timur kejiranan Shujaiya, Kota Gaza.
Menurut Hamas, “garisan kuning” merupakan sempadan pertama yang digariskan dalam fasa awal perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober. Garisan itu memisahkan kawasan di bawah kawalan tentera Israel di sebelah timur daripada kawasan yang dibenarkan untuk pergerakan penduduk Palestin di sebelah barat.
Hamas turut memuji kemasukan peralatan kejuruteraan berat yang dibawa bersama pasukan ICRC dan krew tempatan baru-baru ini, yang membantu mempercepatkan proses pemulihan mayat di kawasan runtuhan dan terowong yang musnah akibat serangan udara.
Setakat ini, Hamas telah membebaskan 20 tawanan Israel hidup-hidup dan menyerahkan semula 19 daripada 28 jenazah tawanan yang dilaporkan mati, kebanyakannya warga Israel. Bagaimanapun, pihak tentera Israel mendakwa salah satu daripada mayat yang diterima sebelum ini tidak sepadan dengan identiti mana-mana tawanannya yang masih hilang.
Israel kini menjadikan penyerahan semua jenazah tebusan sebagai syarat utama sebelum rundingan fasa kedua gencatan senjata diteruskan. Hamas pula menjelaskan bahawa proses pencarian dan pemulihan jenazah mengambil masa panjang disebabkan kemusnahan besar-besaran yang berlaku di Gaza.
Dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata, Hamas membebaskan beberapa tebusan Israel sebagai pertukaran kepada hampir 2,000 tahanan Palestin. Di bawah perjanjian itu juga, bagi setiap mayat tawanan Israel yang dikembalikan, pihak Israel perlu menyerahkan jenazah 15 rakyat Palestin.
Sumber: TRT World






