PalestinSemasa

Hamas Tangguh Penyerahan Jenazah Tebusan Akibat Serangan Baharu Israel di Gaza

Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, memaklumkan bahawa rancangan penyerahan mayat tawanan Israel mungkin ditangguhkan selepas Israel melancarkan serangan udara yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin di Gaza pada Selasa.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, kumpulan itu menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata dan menghalang operasi mencari serta mengambil mayat tawanan.

“Sebarang peningkatan serangan Israel akan menjejaskan operasi pencarian dan penggalian serta menangguhkan pemulangan mayat penjajah,” kata Al-Qassam.

Hamas sebelum ini dijadualkan menyerahkan mayat beberapa tawanan Israel pada jam 8 malam waktu tempatan di bawah perjanjian gencatan senjata. Namun, selepas serangan itu, kumpulan tersebut berkata ia telah menemui dua mayat tawanan Israel, dikenali sebagai Amiram Cooper dan Sahar Baruch, dalam operasi mencari yang dijalankan awal hari yang sama.

Israel tidak mengulas mengenai laporan berkenaan.

Menurut sumber tempatan, serangan udara Israel menyasarkan beberapa kawasan di dalam zon yang dikenali sebagai “garisan kuning”, iaitu kawasan di mana tentera Israel telah berundur sebagai sebahagian daripada gencatan senjata.

Antara lokasi yang diserang termasuk kejiranan Sabra di barat Gaza City, sebuah sekolah perlindungan di Beit Lahia, dan sebuah kenderaan di Khan Younis. Sekurang-kurangnya 30 orang dilaporkan terkorban, termasuk wanita dan kanak-kanak, manakala ramai lagi cedera atau masih hilang di bawah runtuhan.

Serangan di kejiranan Al-Amal, Khan Younis, turut membunuh dua rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain.

Sumber: TRT World & Agensi

Related Articles

Back to top button