Semasa

Hari Renjer Sedunia : 600 veteran ATM dan Orang Asli dilantik sebagai renjer hidupan liar

KUALA LUMPUR : Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melantik 600 veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan Orang Asli (OA) sebagai renjer hidupan liar di bawah Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3) sehingga Jun lepas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pelantikan itu bagi meningkatkan bilangan renjer selain sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap peranan anggota tersebut yang selama ini berkorban untuk mempertahankan sumber kekayaan dan khazanah semula jadi negara.

“Renjer adalah anggota barisan hadapan, mereka sebagai benteng bagi membanteras pencerobohan untuk melindungi biodiversiti.

Renjer di negara ini berkhidmat di pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri malah terdapat sukarelawan di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut memainkan fungsi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Renjer Sedunia 2021.

Hari Renjer disambut pada 31 Julai bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta tanggungjawab dimainkan oleh renjer selaku pejuang belantara dalam memastikan sumber semula jadi dan biodiversity negara dilindungi.

Dalam pada itu, Shamsul mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada renjer di seluruh negara yang sentiasa komited melaksanakan tugas walaupun ketika pandemik Covid-19.

“Tugasan untuk melindungi hidupan liar, habitan semula jadi, menangani konflik manusia dan hidupan liar, menguruskan kawasan perlindungan serta penguatkuasaan tetap dijalnkan dengan penuh dedikasi.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button