Semasa

Hayati erti sebenar kemerdekaan, semarak semangat patriotisme – Sultan Selangor

SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menyeru rakyat menghayati erti sebenar kemerdekaan di samping menyuburkan lagi rasa cinta kepada tanahair dan menyemarakkan semangat patriotisme terhadap nusa dan bangsa.

Menerusi Selangor Royal Office sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ini, Baginda turut mengingatkan  rakyat agar tidak “buta sejarah” dengan melupakan jerih perih perjuangan serta pengorbanan orang-orang terdahulu untuk mencapai kemerdekaan negara ini.

“Dengan mengetahui sejarah negara sendiri, rakyat Malaysia boleh merancang masa depan negara dengan lebih baik dan berkesan.

“Baginda turut mahu sekalian rakyat kekal hidup aman dalam suasana yang harmoni, hormat menghormati, bersatu padu dan saling bertoleransi dalam semua aspek kehidupan.

“Jangan sesekali campur adukkan isu-isu politik, perkauman dan agama yang boleh mencetus pertelagahan dan memecah belahkan rakyat,” menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menyeru agar semua rakyat berganding bahu dalam memperkukuh ekonomi dan membangunkan negara.

Baginda juga bertitah agar seluruh rakyat Malaysia sentiasa berwaspada terhadap unsur-unsur dalam dan luar negara yang boleh menghancurkan apa yang sedang dinikmati sekarang.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Related Articles

Back to top button