KesihatanSemasa

Ibu Bapa Tidak Bawa Anak Pemeriksaan Berkala, Sukarkan Tangani Malnutrisi Kanak-Kanak

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan cabaran besar dalam usaha menangani isu malnutrisi kanak-kanak, termasuk masalah bantut dan obesiti, apabila ramai ibu bapa tidak membawa anak mereka ke klinik untuk pemeriksaan berkala.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata kejayaan intervensi amat bergantung kepada kadar saringan serta pengagihan bantuan makanan yang disasarkan kepada keluarga berisiko.

“Masalah utama ialah kadar saringan yang rendah. Apabila saringan kurang, sukar untuk kita memberi nasihat tepat kepada ibu bapa dan menyalurkan bantuan bakul makanan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN–Kuala Nerus) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau turut memaklumkan bahawa KKM belum mempunyai program khusus bantuan makanan sihat bagi kanak-kanak berusia tiga tahun dan ke bawah, namun kementerian bersedia mempertimbangkannya bergantung kepada keperluan serta ketersediaan sumber.

Pada masa ini, KKM melaksanakan beberapa inisiatif termasuk Program Community Feeding untuk kanak-kanak Orang Asli dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR), selain Program Bantuan Susu bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga enam tahun daripada keluarga miskin dan berisiko kekurangan zat makanan.

Datuk Lukanisman Awang Sauni

“KKM akan terus menambah baik program sedia ada, memperkukuh kerjasama dengan kementerian lain serta NGO, dan memperhebat literasi pemakanan dalam komuniti bagi meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Dr Alias mengenai perancangan kerajaan untuk memperluas bantuan makanan sihat kepada kanak-kanak tiga tahun ke bawah, memandangkan kos intervensi awal jauh lebih rendah berbanding kos rawatan jangka panjang akibat komplikasi malnutrisi.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button