KerohanianPendidikanSemasa

Islam tidak melarang untuk berlawak, tetapi perlulah beradab

Hiburan dan jenaka itu adalah fitrah tabiat manusia dan tanpanya kehidupan akan menjadi hambar, sedih dan kurang bermotivasi untuk hidup menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Hakikatnya, Islam sebagai panduan hidup manusia tidak pernah melarang manusia untuk berhibur dan berjenaka. Walau bagaimanapun, kita haruslah menjaga etika dan beberapa adab ketika berjenaka atau berlawak agar tidak bersifat keterlaluan sehingga menyinggung perasaan individu.

Seperti yang disenaraikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,

  1. Tidak melampau batas sehingga meninggalkan tanggungjawab dan kewajipan

Mereka memetik Al-Qaradhawi yang menyebut tidak salah bagi seorang Muslim untuk bergurau senda dengan sesuatu yang dapat menenangkan hatinya, tidak salah baginya menghiburkan dirinya dan rakan-rakannya dengan sesuatu hiburan yang ringan.

Akan tetapi janganlah sampai menjadi kebiasaan pada setiap masa ingin bergurau sahaja kerana akhirnya ianya akan menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara yang wajib sehingga dia bergurau pada waktu yang sepatutnya dia bersungguh-sungguh.

  1. Tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai gurau senda.

Ini berdasarkan firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Hujurat: 11)

  1. Tidak mempermainkan syiar agama

Ini dapat dilihat daripada firman Allah SWT seperti berikut :

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya: Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.

(Surah Al-An’am: 70)

Berdasarkan ayat di atas, ia jelas menunjukkan bahawa umat Islam dilarang untuk mempersendakan agama dan membuat sesuatu lawak yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam.

Hal ini bertujuan untuk menjaga kehormatan agama Islam itu sendiri sepertimana yang telah digariskan dalam maqosid Islam yang dhoruriyyat iaitu menjaga agama.

Mengambil contoh kes yang berlaku melibatkan seorang pelawak yang mengakui dirinya menghafal 15 juzuk Al-Quran lalu membuka tudung dan baju kurungnya di khalayak ramai sebagai satu bahan jenaka.

Perkara itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam yang menganggap perbuatan itu terlalu biadab dan mendesak kelab komedi itu ditutup.

Kesimpulannya, sikap berlawak jenaka adalah fitrah kehidupan manusia yang diciptakan sebagai masyarakat sosial. Islam tidak melarang aktiviti ini selama mana tujuannya adalah kebaikan yang diiktiraf syarak dan tidak melanggar etika-etika yang telah ditetapkan.

Related Articles

Back to top button