PalestinSemasa

Jentolak Rejim Israel Bertindak Cabut Pokok Zaitun Palestin Menjelang Musim Tuaian

Penduduk kampung Palestin di Tebing Barat yang diduduki meratapi nasib kebun mereka selepas tentera rejim Israel menggunakan jentolak untuk mencabut ratusan pokok zaitun, hanya beberapa hari sebelum musim menuai tahunan bermula.

Abd Alfattah Tamimi, seorang pemilik tanah di perkampungan berhampiran Ramallah, menyifatkan tindakan rejim itu sebagai satu kemusnahan besar yang melenyapkan punca pendapatan mereka. “Semua pokok zaitun kami, termasuk yang baru ditanam, telah dicabut… Mereka meninggalkan kami tanpa apa-apa,” ujarnya ketika melihat jentolak tentera merosakkan kebun miliknya dan jiran-jiran yang meliputi kawasan seluas hampir sembilan ekar.

Simbol Hubungan Dengan Tanah Serta Tulang Belakang Ekonomi

Kumpulan hak asasi manusia menegaskan bahawa tindakan kejam itu bertujuan melumpuhkan sumber pendapatan petani Palestin daripada hasil jualan zaitun dan minyak zaitun, di samping memusnahkan pokok-pokok yang sekian lama menjadi lambang ikatan kukuh rakyat Palestin dengan tanah air mereka.

Musim menuai zaitun yang lazimnya bermula pada minggu pertama Oktober merupakan tulang belakang kepada sektor pertanian Palestin, di mana ia menyumbangkan sekitar 8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menawarkan lebih 60,000 peluang pekerjaan menurut data Kementerian Pertanian Pihak Berkuasa Palestin. Bagaimanapun, musim tuaian kali ini dijangka berdepan kemerosotan teruk di tengah-tengah peningkatan rekod serangan oleh kumpulan peneroka haram Israel di wilayah tersebut.

Sumber: Reuters via TRT World

Related Articles

Back to top button