Semasa

Kadar pemberian vaksin harian Selangor lepasi sasaran

SHAH ALAM – Kadar pemberian vaksin harian di Selangor pada Jumaat dan Sabtu berjaya melepasi sasaran bagi Julai membabitkan pemberian melebihi 135,000 dos sehari.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata negeri itu merekodkan pemberian vaksin sebanyak 159,000 dos pada Jumaat dan 152,000 dos pada Sabtu.

“Alhamdulillah, menutup bulan Julai dengan kejayaan vaksinasi di Negeri Selangor. Kadar vaksinasi harian (daily vaccination rate) di Selangor terus meningkat.

“Pada 30 Julai dan 31 Julai, 159 ribu dan 152 ribu dos suntikan sehari dicatat, melepasi sasaran untuk bulan Julai sebanyak 135 ribu dos sehari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, Amirudin memberitahu jumlah ini tidak termasuk kadar vaksinasi harian Program Vaksin Selangor SelVAX iaitu 15 ribu dos sehari. Kadar ini akan terus dipertingkatkan setiap hari.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas perubatan dan keselamatan yang terus komited memberi khidmat.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan sejumlah 4.28 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada rakyat Selangor setakat Sabtu.

Sebanyak 176,837 dos vaksin turut diberikan kepada penduduk di negeri tersebut menerusi Selvax.

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button