EkonomiSemasa

KDNK Suku Pertama 2026 Dijangka Cecah 5.3 Peratus, Lampaui Unjuran Awal – Akmal Nasrullah

Ekonomi Malaysia bagi suku pertama tahun 2026 dijangka mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, menepati unjuran awal sebanyak 5.3 peratus atau berpotensi mencapai prestasi yang lebih baik.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, meskipun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini menganggarkan pertumbuhan pada kadar 5.3 peratus, data terkini menunjukkan angka tersebut adalah agak konservatif.

“Berdasarkan data yang akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) esok, saya melihat anggaran awal kita sebenarnya agak konservatif. Saya menjangkakan pertumbuhan suku pertama ini tidak akan jauh daripada unjuran, malah mungkin lebih baik daripada anggaran sebelumnya,” katanya selepas melancarkan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) ke-32 terbitan Bank Dunia, hari ini.

Imbangan Fiskal dan Pengurusan Subsidi Menyentuh mengenai kedudukan fiskal negara, Akmal Nasrullah menjelaskan bahawa kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha mengimbangi pengurangan defisit fiskal dengan keperluan melindungi rakyat daripada tekanan harga minyak dan gas global yang kian meningkat.

Antara langkah utama yang dilaksanakan termasuklah penyelarasan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan penambahbaikan pengurusan subsidi diesel bagi mengurangkan ketirisan serta aktiviti penyeludupan.

“Cabaran utama dalam menguruskan subsidi adalah jurang ketara antara harga pasaran dan harga bersubsidi. Kita perlu memastikan wujud keseimbangan bagi memanjangkan daya tahan ekonomi negara,” tambah beliau.

Laporan Bank Dunia Laporan MEM ke-32 yang dilancarkan hari ini bertemakan “Menaikkan Siling, Memperkukuh Lantai: Agenda Pekerjaan sebagai Agenda Produktiviti,” yang menggariskan strategi untuk meningkatkan produktiviti negara melalui sektor pekerjaan.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan memberikan penjelasan lanjut dalam masa terdekat mengenai kedudukan bekalan bahan api negara bagi memastikan kestabilan ekonomi terus terjamin.

— Bernama

Related Articles

Back to top button