Semasa

Kempen promosi 1 juta Poskad Khas Palestin Merdeka dilancarkan

Ops Ihsan dengan kerjasama POS Malaysia telah melancarkan Kempen 1 juta Poskod Palestin sebagai solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman israel.

Majlis pelancaran kempen itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh yang turut menandatangani poskad berkenaan sebagai tanda solidariti.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah memulakan memulakan Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres sebagai menyuarakan aspirasi rakyat Malaysia menuntut keadilan dan keamanan Palestin.
Ketua Kluster Keterlihatan Ops Ihsan Shahrul Aman Mohd Saari berkata setakat ini mereka telah mengumpul lebih 100,000 poskad yang ditandatangani oleh pelbagai pihak, pada masa sama meningkatkan kerjasama dengan KPM berhubung pengiriman poskad khas melibatkan pelajar sekolah.

“Kita harap akan dapat satu pulangan yang baik kepada rakyat Palestin,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Kempen Promosi 1 Juta Poskad Khas Palestin Merdeka Bersama Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.

Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai satu usaha kerjasama antara Kementerian Luar dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Ops Ihsan diselaraskan Kementerian Luar, diketuai Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) bersama lebih 50 NGO lain, termasuk Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

 

 

Related Articles

Back to top button