
Great Wall Motor (GWM) Malaysia bakal mempamerkan ekosistem mobiliti paling komprehensif pada Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 21 Jun 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Membawa tema “Untuk Setiap Pengguna, Untuk Setiap Perjalanan”, pameran ini menghimpunkan portfolio pelbagai kenderaan, teknologi canggih, serta pengalaman interaktif. Antara tarikan utama termasuklah zon pengalaman luar jalan raya (off-road) khas Tank GWM, di mana pengunjung boleh menyaksikan keupayaan SUV pengembaraan tersebut merentasi litar berhalangan bagi mendemonstrasikan teknologi pacuan empat roda termaju.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, penglibatan di KLIMS 2026 mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam membina ekosistem mobiliti yang mampan dan berpaksikan pelanggan di Malaysia, selari dengan jangkaan pengguna masa kini terhadap aspek teknologi termaju, praktikal, dan kebolehpercayaan.
“Kehadiran kami di KLIMS 2026 bukan sekadar untuk memperkenalkan produk baharu tetapi untuk menunjukkan kekuatan ekosistem syarikat yang lebih luas iaitu daripada penyelesaian mobiliti pintar dan rangkaian kuasa yang pelbagai sehinggalah kepada sokongan pasca jualan serta penglibatan pelanggan,” jelas beliau.
Ruang pameran GWM akan mempamerkan pelbagai pilihan rangkaian kuasa merentasi kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV), dan kenderaan elektrik bateri (BEV). Tumpuan utama bakal terarah kepada pratonton awam pertama bagi model Ora 5 HEV dan Haval H7 Hi4 PHEV.
Selain itu, barisan kenderaan sedia ada seperti Haval H6 HEV, MPV premium hibrid pintar Wey G9 Hi4 PHEV, Tank 300 HEV, Tank 500 HEV, serta EV urban Ora Good Cat turut dipamerkan. Para pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif, termasuk pandu uji, permainan, cabutan bertuah, dan ganjaran tempahan eksklusif sepanjang tempoh pameran.
Sebagai maklumat tambahan, KLIMS 2026 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dan diiktiraf oleh MATRADE, dengan sokongan strategik daripada MARii serta MIDA.
Sumber: Bernama







