
Kuching City FC mempamerkan aksi bertenaga untuk mencatatkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas PDRM FC dalam saingan Liga Super 2025/2026 yang berlangsung di Stadium Negeri Sarawak, malam tadi.
Kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad The Cats yang bermula garang menerusi jaringan gol seawal minit pertama oleh Wanja Roland Ngah. Bagaimanapun, PDRM FC berjaya merapatkan jurang sebelum tamat babak pertama hasil jaringan Muhammad Amirul Waie Yaakob pada minit ke-42, menjadikan kedudukan terikat 1-1.
Memasuki babak kedua, dominasi Kuching City sukar digugat apabila Muhammad Ramadan Saifullah meledak dua gol pantas, masing-masing pada minit ke-47 dan ke-61. Kemenangan mutlak tuan rumah disahkan oleh Jerome Mpacko Etame yang menyempurnakan peluang pada minit ke-67 untuk melengkapkan malam gemilang buat pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak itu.
Keputusan itu menyaksikan Kuching City melonjak ke tangga kedua liga dengan mengumpul 43 mata, berkongsi mata dengan Selangor FC di kedudukan ketiga namun dipisahkan oleh perbezaan jaringan.
Negeri Sembilan, DPMM FC Kongsi Mata
Sementara itu, dalam satu lagi aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan FC (NSFC) terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat 2-2 oleh wakil Brunei, DPMM FC.
Skuad Jang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyudah kemas pemain import dari Jepun, Takumi Sasaki pada minit ke-30 selepas menerima hantaran tepat daripada A. Selvan.
Tersentak dengan jaringan itu, pasukan pelawat bangkit pada babak kedua menerusi tandukan bertenaga Okechukwu Christian Irobiso pada minit ke-49. DPMM FC kemudian mengejutkan penyokong tuan rumah apabila Muhammad Hakeme Yazid Said tenang menyempurnakan hantaran Jordan Murray untuk meletakkan pelawat di depan pada minit ke-60.
Tuan rumah bagaimanapun berjaya mengelakkan kekalahan memalukan di laman sendiri apabila Joseph Esso menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-73, hasil hantaran pemain pertahanan Kei Oshiro.
Keputusan seri ini menyaksikan Negeri Sembilan kekal di kedudukan keenam liga dengan 23 mata, manakala DPMM FC mengekori rapat di tangga kelapan dengan 22 mata.
(Sumber: BERNAMA)







