PolitikSemasa

Legasi Zheng He pencetus pembinaan hubungan diplomatik

BEIJING: Dengan menyingkap siri pelayaran Zheng He ke alam Melayu maka kita akan dapat menelusuri sejarah perhubungan China-Melayu yang menyaksikan tiada berlakunya persengketaan yang besar dan berpanjangan.

Ia bermula dengan kedatangan rombongan Melaka seramai 540 orang di China pada tahun 1422 semasa pemerintahan Dinasti Ming dan lawatan balas oleh pihak China yang diketuai Zheng He.

Zheng He yang berperanan selaku utusan persahabatan dengan dibantu armada seramai 27,000 anggota, beliau telah sampai ke Tanah Melayu sebanyak 7 kali.

Antara negeri yang pernah dikunjungi beliau ialah Melaka dan Pahang (1409-12), Kelantan (1412) dan beberapa tempat lain.


Malaysia sememangnya terkenal sebagai sebuah negara yang dirahmati dengan pelbagai limpahan kelebihan dan keistimewaan geografinya. Ini dapat dilihat oleh Zheng He sejak di zaman Kesultanan Melaka yang menyaksikan negeri ini muncul sebagai pusat perdagangan, aktiviti kebudayaan dan jaringan hubungan serantau dan antarabangsa.

Pendekatan hebat oleh Kesultanan Melaka mengawal selia lokasi perdagangan dan laluan laut antara India dan China menjadikan pusat perdagangan sebagai kawasan membangun dan disegani di rantau ini.

Melaka juga berperanan sebagai lokasi pertukaran tamadun dan pengajian agama khasnya perkembangan agama Islam di alam Melayu.

Memetik ucapan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa majlis perasmian Forum Antarabangsa Zheng He ke-6, beliau berkata: “kita dapat melihat sejarah pelayaran Zheng He di nusantara yang memberi impak bersejarah terhadap tamadun dan memberi kesan kepada pandangan dasar luar Malaysia”.

Oleh itu, Malaysia mengambil pendekatan untuk mengatur negaranya sebagai pusat jaringan utama antara rantau Pasifik dan Lautan Hindi yang memfokuskan kepada identiti, kemakmuran dan keselamatan sejagat di Asia Tenggara dan selainnya.

Dalam dunia diplomatik, Zheng He berperanan sebagai diplomat yang membawa semangat saling membantu atau dikenali sebagai taʿāwun.

Legasi Zheng He yang menekankan peranan diplomasi secara persahabatan dan aman menjadi kayu pengukur dalam membina hubungan diplomatik yang pragmatik.

Kesinambungan yang ada ini perlu diteruskan dengan semangat persahabatan Malaysia-China yang tinggi khasnya dalam meraikan ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif pada tahun ini dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun 2024.

(Artikel ini ditulis oleh bekas Penasihat Kedutaan Malaysia di Beijing China, Abdul Aziz How Abdullah)

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button