
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menyalurkan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM9.35 bilion kepada lebih tiga juta pembayar cukai sehingga 30 Jun 2025, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Menurut jawapan bertulis di laman Parlimen hari ini, sebanyak 1.07 juta pembayar cukai daripada jumlah tersebut telah menerima bayaran balik penuh bernilai RM2.73 bilion.
MOF menjelaskan, bagi kategori syarikat yang melibatkan jumlah lebih besar, bayaran balik akan dibuat mengikut keutamaan dengan mendahulukan kes tertunggak lebih lama.
“Langkah ini memastikan semua pembayar cukai yang layak akan menerima sekurang-kurangnya sebahagian bayaran balik dalam tahun semasa, manakala bakinya akan diselesaikan sama ada pada tahun yang sama atau tahun berikutnya, bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, kementerian menjelaskan pelaksanaan cukai jualan ke atas barangan bernilai rendah (LVG) yang bermula 1 Januari 2024 tidak termasuk dalam skop semakan semula cukai jualan.
LVG dikenakan ke atas semua barangan bernilai kurang RM500 yang diimport dari luar negara dan dijual secara dalam talian melalui platform berdaftar, namun tidak terpakai kepada barangan yang dikilangkan dalam negara.
MOF berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN–Pagoh) mengenai strategi kerajaan menangani kesan peluasan SST terhadap kos sara hidup rakyat serta beban operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
— BERNAMA







