DuniaPalestinSemasa

Majlis Perbandaran Israel bagi notis, bangunan perniagaan kena roboh

BAITULMAQDIS: Majlis Perbandaran Baitulmaqdis Barat (Israel) semalam, memaklumkan berpuluh-puluh kemudahan perniagaan komersial Palestin akan dirobohkan di kejiranan Wadi al-Joz di Baitulmaqdis Timur yang dijajah.

Menurut seorang pemilik, Israel memang berniat merobohkan perniagaan yang telah sekian lama diusahakan itu.

Pemilik perniagaan mendapat notis pemberitahuan perobohan premis ketika mereka tiba di gerai masing-masing, pagi semalam.

Perniagaan yang diusahakan di kawasan perindustrian Wadi al-Joz, kebanyakannya merupakan kedai membaiki kereta, alat ganti, gudang menjual bahan binaan, restoran, dan barangan runcit.

Ismail al-Kurd, memberitahu WAFA bahawa majlis perbandaran mahu merobohkan perniagaan mereka, yang telah mereka miliki selama beberapa dekad, bagi membina “Lembah Silikon”.

Projek ini akan dilaksanakan di atas tapak runtuhan kedai-kedai ini.

Beliau menambah, projek ini dicadangkan oleh majlis perbandaran pada pertengahan 2020 sebagai sebahagian daripada perancangan 5 tahun bernilai $660 juta, yang dibina di atas kawasan seluas 200,000 meter persegi untuk syarikat teknologi tinggi, hotel dan pelbagai kedai.

“Kami mewarisi kedai-kedai ini daripada bapa dan datuk kami 70 tahun lalu. Saya tinggal di sini dan mencari rezeki dari tempat ini. Saya mempunyai semua kertas rasmi dan lesen yang membuktikan perkara ini,” katanya.

“Kedai ini adalah salah satu daripada berpuluh-puluh kedai di kawasan ini dan hari ini (semalam), penjajah datang untuk menghalau kami keluar dari kedai kami dan mengambil daripada kami sumber pendapatan untuk saya dan anak-anak saya,” ujarnya lagi.

Beliau berkata pihak perbandaran Israel mahu memindahkan mereka dari tempat yang terkenal dan penting ini ke kawasan perindustrian Israel yang jauh dari bandar.

“Kami tidak akan menerima perancangan ini dan kami akan menghadapinya tidak kira apa pun,” kata al-Kurd.

Kejiranan Wadi al-Joz terletak bersebelahan dengan kejiranan Sheikh Jarrah, yang mana pihak berkuasa Israel bersekongkol dengan kumpulan pendatang Yahudi, merancang memindahkan penduduk Palestin dan menggantikan mereka dengan pendatang Yahudi.

Penduduk Palestin di Baitulmaqdis risau jika pihak berkuasa Israel memaksa mereka meninggalkan bandar dengan cara merobohkan rumah dan taktik lain sebagai sebahagian daripada rancangannya bagi mengubahnya menjadi bandar Yahudi. – AGENSI

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button