
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam sekeras-kerasnya serangan dron yang mensasarkan kapal Global Sumud Flotilla, sebuah konvoi awam yang dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
MAPIM menegaskan serangan itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah mengancam nyawa orang awam yang tidak bersenjata, yang berusaha menyalurkan sokongan kepada penduduk Gaza yang terkepung.
“Komuniti antarabangsa tidak boleh berdiam diri apabila misi kemanusiaan diserang secara terang-terangan tanpa menghiraukan hak asasi manusia dan prinsip Konvensyen Geneva. Tindakan ini jelas merupakan jenayah perang dan mesti segera disiasat serta dihentikan,” kata Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan hak asasi manusia serta kerajaan-kerajaan yang bertanggungjawab untuk:
-
Mengecam serangan tersebut dengan tegas.
-
Menjamin perlindungan kepada semua konvoi bantuan ke Gaza.
-
Membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
-
Mengambil langkah diplomatik dan undang-undang segera bagi mengelak peningkatan keganasan.
MAPIM menegaskan bahawa rakyat Gaza telah lama berdepan sekatan, penderitaan dan serangan berpanjangan. Justeru, sebarang serangan terhadap pihak yang membawa bantuan kemanusiaan dianggap sebagai serangan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
“MAPIM kekal teguh bersama rakyat Palestin dan mendesak komuniti dunia bertindak tegas demi melindungi nyawa, menjunjung undang-undang antarabangsa dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” ujar kenyataan itu lagi.