Masters Thailand 2026: Ahmad Zahid Ucap Tahniah, Puji Semangat Juang Goh Jin Wei

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei, atas kejayaannya muncul sebagai naib juara Kejohanan Badminton Masters Thailand 2026.

Meskipun Goh terpaksa menarik diri pada set kedua perlawanan akhir akibat kecederaan, Ahmad Zahid menyifatkan kemaraan pemain itu ke pentas final sebagai satu pencapaian yang sangat memberangsangkan dan membanggakan Malaysia.

Menurut beliau, pencapaian tersebut turut melakar sejarah apabila Goh menjadi wakil negara pertama yang berjaya melangkah ke pusingan akhir kejohanan itu bagi kategori perseorangan wanita.

“Syabas Goh Jin Wei! Semoga segera pulih dan terus melakar kejayaan lebih gemilang di pentas antarabangsa,” kata beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi, hari ini.

Terdahulu, dalam aksi penentuan yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok, Goh Jin Wei dijadualkan menentang wakil India, Devika Sihag, namun terpaksa menarik diri pada set kedua ekoran kecederaan yang dialaminya.


Sumber: Bernama

Exit mobile version