SemasaSukan

Ganjaran Lumayan Tidak Ganggu Fokus Tang Jie-Ee Wei

Beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menegaskan ganjaran lumayan yang diterima selepas muncul juara dunia tidak akan mengganggu fokus mereka untuk terus cemerlang di gelanggang.

Menurut Tang Jie, matlamat utama mereka kekal sama iaitu memburu lebih banyak kejuaraan demi mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Bagi kami tiada yang berubah kerana sekarang kami masih lagi atlet badminton. Sama ada dulu atau akan datang, matlamat kami adalah untuk meraih lebih banyak pencapaian untuk negara dan juga untuk diri sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian insentif oleh Senheng Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Dalam majlis itu, pasangan beregu tersebut menerima insentif berjumlah RM125,000, dengan Tang Jie membawa pulang RM100,000 dalam bentuk wang tunai manakala Ee Wei menerima produk elektronik bernilai RM25,000.

Kedua-dua pemain itu sebelum ini merupakan penerima biasiswa di bawah Program Biasiswa SS Junior Badminton Talent anjuran Senheng dan Samsung pada 2012.

Sejak meraih gelaran juara dunia di Paris pada 31 Ogos lepas, Tang Jie dan Ee Wei telah menerima ganjaran berjumlah lebih RM100,000 daripada pelbagai pihak sebagai pengiktirafan atas kejayaan mereka.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button