
Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla (GSF) bersama gerakan Sumud Nusantara kini sedang giat merangka pelancaran misi kemanusiaan fasa kedua yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan tahun ini, sekitar musim bunga. Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby, menjelaskan bahawa misi ini adalah tindak balas langsung terhadap strategi Israel yang sengaja melengah dan menghalang bantuan, sekaligus memburukkan lagi krisis di Gaza.
Dalam sidang media selepas diskusi Sidang Meja Bulat GSF 2.0: Breaking The Siege di Wisma MAPIM, beliau menegaskan bahawa tekanan antarabangsa perlu digerakkan secara maksimum. “Aksi ini bukan aksi suka-suka, tetapi aksi kita menghina ‘kebinatangan’ yang dilakukan oleh rejim Zionis,” tegasnya. Strategi kali ini bukan sahaja melibatkan aktivis, tetapi bertujuan mendesak kerajaan negara-negara terlibat untuk mengubah kesedaran rakyat kepada polisi diplomasi yang lebih tegas.
Walaupun tarikh spesifik pelancaran dirahsiakan atas faktor keselamatan, penganjur menyasarkan penyertaan negara yang lebih besar berbanding misi terdahulu yang melibatkan 45 buah negara. Diskusi meja bulat tersebut turut menampilkan panelis antarabangsa seperti Thiago Avila dan Kleoniki Alexopoulou, dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, bertindak sebagai moderator.
Misi GSF 2.0 ini membawa semangat yang kental susulan insiden September tahun lalu, di mana armada 41 kapal misi kemanusiaan telah dipintas secara kasar oleh tentera laut rejim Zionis. Dalam kejadian tersebut, ratusan aktivis termasuk 34 sukarelawan Malaysia telah ditahan di Penjara Ketziot, Israel, sebelum dihantar pulang. Sani Araby menjangkakan konflik di Gaza bakal memuncak dalam tempoh beberapa bulan akan datang, menjadikan misi ini sangat kritikal untuk kelangsungan hidup penduduk di sana.
Sumber: BERNAMA