MOSTI aktifkan dron pengawasan dan penghantaran bantu mangsa banjir
PUTRAJAYA : Lebih daripada 20 unit dron diaktifkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Pasukan Petugas Kecemasan Perkhidmatan Dron Khas (PTK2Dron) yang diselaraskan oleh Technology Park Malaysia (TPM) bagi operasi bantuan pemulihan banjir di beberapa kawasan negeri Selangor.
Dalam satu kenyataan, dron pemantauan dan penghantaran ini akan menyampaikan bekalan-bekalan kritikal kepada mangsa banjir seperti ubat-ubatan, makanan dan powerbank.
Menurut MOSTI, dron yang digunakan juga dilengkapi kamera visi malam dan pengesanan haba (night vision and thermal sensors).
“Dron pemantauan dan penghantaran khas ini telah digerakkan ke beberapa kawasan terjejas banjir di Selangor antaranya Taman Sri Muda, Kampung Lombong dan Lanchong, Kampung Lanchang Jaya, Taman Alam Indah dan Kampung Jalan Kebun.
“Pengendalian dron ini telah diuji lebih awal di Perak pada Oktober 2021 dan didapati adalah efektif dari segi penjimatan masa serta kos sebagai alternatif kepada kaedah logistik seperti menggunakan bot.
“Dron-dron ini juga telah diuji untuk penghantaran ke lokasi yang mencabar dari segi geografi termasuk ke ruang pendaratan yang sempit dan terhad.” kata MOSTI dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, usaha ini juga mendapat sokongan daripada beberapa syarikat termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Unit Bencana Negeri Selangor.
Penghargaan turut diberikan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Kementerian Pengangkutan di atas kerjasama rentas kementerian bagi tujuan kelulusan penerbangan dron.
“Syarikat-syarikat teknologi dron yang terlibat adalah VStream Revolutions, Meraque Services, Alphaswift Industries, Aerodyne Group dan GeoPrecision bagi usaha pemantauan khususnya di daerah Petaling dan Kuala Langat.
“Syarikat Meraque bersama responden pertama dan Pharmaniaga telah menggunakan operasi penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron di kawasan yang terjejas akibat banjir di Selangor.” katanya.
Pesawat udara tanpa pemandu (unmanned aerial vehicle, UAV) juga telah melakukan beberapa perjalanan ulang-alik dalam penghantaran barangan kritikal dengan muatan sehingga 10 kilogram (kg).
MOSTI turut memaklumkan syarikat-syarikat teknologi dron tempatan yang terlibat menyediakan perkhidmatan ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan khidmat mereka kepada negara dan masyarakat.
“Di Selangor, pasukan PTK2Dron bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak untuk menggerakkan bantuan segera, di samping, memudahkan cara proses antara pengendali dan penyedia perkhidmatan dron dengan pihak berkuasa berkaitan dan memastikan taraf keselamatan dan teknikal dicapai.