DomestikPendidikanSemasa

Mulai 1 Mac, 8,120 guru baharu lapor diri

PUTRAJAYA: Pengambilan khas secara ‘one-off’ bagi guru baharu seramai 8,120 yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga, boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata guru terbabit bakal melapor diri di sekolah masing-masing mulai 1 Mac ini.

Beliau yang berkongsi khabar berkenaan melalui akaun Facebook hari ini, berkata pengambilan khas guru secara ‘one-off’ yang membabitkan keseluruhan 18,702 guru itu, bertujuan menyelesaikan isu kekurangan tenaga pengajar yang berlarutan sekian lama.

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), iaitu pihak berkuasa melantik, untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru secara ‘one-off’ itu dalam masa terdekat kerana ia amat penting bagi menampung keperluan guru, khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.

“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat,” katanya.

“Insya-Allah, KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang lama berlarutan satu persatu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara,” katanya.

Pada 20 Jun tahun lalu, BH melaporkan, KPM akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara, terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Radzi dilaporkan berkata, ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 dan beliau pada bulan lalu, meminta SPP segera menyelesaikan pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi membolehkan penempatan 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button