Covid19Semasa

Nak balik Malaysia? Daftar maklumat peribadi di portal NADMA sebelum pulang

Permudah & percepat urusan di stesen kuarantin

Nak balik Malaysia?  Daftar dahulu butiran peribadi di laman web yang akan dibangunkan Agensi Pengurusan Bencana Negara NADMA, sebelum pulang ke tanah air,  kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini berikutan rungutan orang ramai mengenai kelewatan semasa urusan pendaftaran di stesen kuarantin, sama ada di hotel atau Institut Latihan Awam (ILA).

“Bagi memudahkan proses pendaftaran, mereka yang ingin pulang ke tanah air digalakkan untuk memberi maklumat kepada pihak Nadma berkenaan tarikh serta masa ketibaan dan juga pilihan stesen kuarantin sama ada hotel atau ILA.

“Pihak Nadma akan membangunkan portal maklumat proses dan stesen kuarantin dalam masa terdekat, bagi proses pendaftaran tersebut,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan juga membenarkan individu yang dikuarantin di stesen kuarantin untuk memesan makanan dari luar melalui penghantar secara dalam talian.

Bagaimanapun, jelasnya, mereka perlu menandatangani surat aku janji dan bertanggungjawab jika timbul sebarang masalah seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Tambah beliau, penambahbaikan itu bagi mengelak kelewatan semasa proses kemasukan individu yang pulang ke tanah air untuk ke bilik kuarantin di hotel, apabila terdapat beberapa kumpulan dari luar negara tiba pada masa yang sama.

Bagi individu yang mahu menaik taraf bilik hotel, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, mereka boleh berbuat demikian dengan syarat kos ditanggung sepenuhnya oleh individu berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai kebimbangan orang ramai di Perak mengenai hotel kuarantin yang berada di dalam sebuah pusat membeli-belah, Ismail Sabri berkata, orang ramai tidak perlu khuatir berhubung perkara tersebut.

“Orang ramai tak perlu bimbang. Mereka (individu kena kuarantin) dah masuk hotel, mereka tak boleh keluar. Malah mereka lebih selamat dari orang yang di luar, kerana mereka telah dibuat ujian swab. Jika mereka negatif sekalipun, mereka masih perlu dikuarantin sehingga 14 hari,” katanya.

Dari 24 Julai hingga 17 Ogos, seramai 12,646 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 63 hotel dan lima ILA di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 43 individu dibawa ke hospital untuk rawatan kerana didapati positif Covid-19 manakala 5,216 individu didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah.

“Pegawai KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bersama anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah membuat 481 pemeriksaan mengejut, bagi memastikan mereka yang masih menjalani  kuarantin di rumah  mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan daripada pemeriksaan tersebut, empat individu dikenakan tindakan,” katanya.

-Bernama

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button